Search This Blog

Loading...

Thursday, 29 November 2012

Pakaian Tradisional


PAKAIAN TRADISIONAL MASYARAKAT MALAYSIA



1. Pakaian Tradisional Melayu



Pakaian Orang Melayu mempunyai banyak jenisnya. Antaranya ialah baju kurung, baju Kebaya, baju Melayu.




Baju Kurung
Baju kurung ialah pakaian tradional perempuan Melayu.  Baju kurung sangat mudah dan selesa untuk dipakai.  Baju kurung juga dapat digayakan bersama tudung dan selendang.  Biasanya, baju kurung dipakai semasa menyambut Hari Raya, menghadiri majlis perkahwinan dan perayaan agama.

Baju Kebaya
            Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.
             Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain; malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.   Baju kebaya dipakai dengan kain sarung atau kain batik.  Biasanya, baju kebaya dipakai dalam majlis rasmi atau majlis perkahwinan.  Orang yang memakai baju kebaya kelihatan sopan dan menarik.  Baju kebaya juga dijadikan sebagai pakaian pengantin perempuan Melayu. 
Baju Melayu
        Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat. Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi. Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat, ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.Baju Melayu merupakan pakaian tradisional lelaki Melayu.   Baju Melayu digayakan bersama  samping  dan songkok.   Biasanya, baju Melayu dipakai dalam majlis rasmi atau majlis perkahwinan. Orang yang memakai baju Melayu kelihatan segak dan bergaya.  Baju Melayu juga dijadikan sebagai pakaian pengantin lelaki Melayu.
2.  Pakaian Tradisional Orang Cina

Pakaian Tradisional Orang Cina ialah ceongsam dan samfu.



ceongsam
        Pakaian tradisional perempuan Cina ialah ceongsam.  Dalam bahasa mandarin , pakaian ini dinamakan qipao.  Warna pakaian tradisional   pada umumnya berwarna  merah  dikarenakan masyarakat Cina percaya bahawa warna merah akan mendatangkan keuntungan dan kesejahteraan.  Namun pakaian tradisional juga memiliki warna lain seperti biru, putih, hitam, dan sebagainya.  Pakaian ini ada motifnya seperti bunya peony, naga,, lotus,  ikan, dan sebagainya yang membawa erti seperti berikut:
i) Bunga peony diertikan sebagai lambang kemakmuran dan kesejahteraan.
ii) Naga diertikan sebagai lambang kekuatan.
iii) Bunga lotus diertikan lambang kecantikan.
iv) ikan diertikan lambang berkeuntungan,
    Pakaian ini dipakai oleh wanita berketurunan Cina. Biasanya dipakai pada upacara-upacara tertentu seperti majlis perkahwinan dan semasa Tahun Baru Cina. Tetapi kini, pakaian ini jarang dipakai oleh wanita Cina di Malaysia kerana mereka lebih gemar memakai pakaian fesyen negara barat. Ceongsam dikatakan berasal dari baju tradisional lelaki Cina yang labuh sampai ke kaki. Perkataan 'cheong sam' dalam dialek kantonis bermaksud 'baju labuh'. Ceongsam dipercayai mula diperkenalkan semenjak revolusi di Negera China pada tahun 1911.
Baju ini asalnya labuh tetapi lama-kelamaan disingkatkan hingga ke paras lutut. Pada mulanya, kolar baju antara 3 hingga 4 cm sahaja tetapi kemudiannya ditinggikan sehingga menjadi 7 cm. Cheongsam dipakai ketat dan berbelah di kiri dan kanannya.
samfu

        Samfu membawa maksud 'baju dan seluar' dalam dialek Kantonis. Ia merupakan pakaian harian wanita keturunan Cina selain dari 'ceongsam'. Ia digemari oleh wanita-wanita separuh umur dan yang bekerja di ladang, lombong atau di rumah. Samfu diperbuat daripada kain nipis yang tidak bercorak atau berbunga halus.
Samfu turut dipakai oleh lelaki berketurunan Cina tetapi mempunyai sedikit perbezaan dengan samfu yang dipakai oleh wanita Cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti seluar baju Melayu. Pakaian ini biasanya diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera. Pakaian tradisional ini jarang sekali dipakai oleh lelaki berketurunan Cina di Malaysia.



3.  Pakaian Tradisional Orang India

Pakaian Tradisional Orang India ialah doti dan sari.


doti

        Doti merupakan pakaian untuk kamum lelaki. Pakaian ini diperbuat daripada kain yang bewarna putih. Kebanyakan dhoti hanya boleh dilihat di hari perkahwinan sahaja kerana generasi muda hari ini tidak berminat dengan pakaian tersebut.
Doti diperbuat daripada lembaran kain putih yang panjang. Kain tersebut dililit di bahagian pinggang dan diikat pada celah paha dan kemudian disangkukan pada bahu. Kemudian kain tersebut dihiasi dengan manik-manik kecil supaya kelihatan menarik. Ada juga doti yang bewarna kuning pudar atau kuning susu. Pakaian ini banyak dipakai oleh golongan ceti.
sari
        Sari merupakan pakaian untuk kaum perempuan dan ia adalah pakaian seharian dan turut dipakai pada musim perayaan. Sari terdiri daripada lembaran kain yang berukuran semeter hingga dua meter lebar dan panjangnya pula antara lima hingga lima belas meter mengikut saiz pemakai. Kebanyakan kain sati adalah jarang dan lembut. Sebelum memakai sari, Si pemakai perlu memakai anak baju yang ketat dan singkat. Kemudian sati dililit dari pinggan dan diselempang pada bahu kiri. Lilitan pinggang sebanyak tiga hingga lima kali untuk menguatkan lilitan supaya tidak terurai.
        Dari segi pemilihan warna, kebanyakan sari yang dipakai berwarna gelap seperti merah, biru, hijau dan ungu. Warna-warna ini lebih menarik untuk sari yang dipakai pada musim perayaan. Pemilihan corak pula adalah mengikut si pemakai. Ada yang lebih suka bercorak tumbuha-tumbuhan dan ada juga yang lebih suka bercorak haiwan. Untuk menjadikan si pemakai kelihatan menarik, kebanyakan mereka memilih sari yang mempunyai pelbagai jenis manik yang berkilat. Ini akan menyerlahkan lagi kecantikan si pemakainnya. Wala apapun pemilihan warna biasanya dipadankan dengan corak yang menarik dan sesuai dengan si pemakai.

4.  PAKAIAN SIKH/PUNJABI

PEREMPUAN
  • Bagi perempuan masyarakat sikh mereka mengenakan pakaian salwar
        kameez atau baju Punjabi.
  • Terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang 
        yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya.



LELAKI
  • Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki di majlis rasmi.
  • Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat
        daripada kain kapas atau line.


TURBAN/DASTAR
  • Masyarakat penganut Sikh atau Punjabi turut memakai serban
        tetapi dalam bentuk lebih tebal, lonjong dan seragam bentuknya.
  • Kain serban dipakai sepanjang 5 meter. 
  • Serban dalam kalangan penganut Sikh amat berkait rapat
        dengan kepercayaan dan wajib dipakai.
  • Penganut Sikh dilarang memotong rambut dan memakai serban agama 
        agar rambut yang panjang mudah diurus, tetapi kaum perempuan 
        tidak perlu memakai serban.

8 comments:

  1. Usaha yang menggalakkan. Syabas!

    ReplyDelete
  2. Syabas!Blog anda telah menambah pengetahuan saya.Terima kasih. Berusaha lagi.^^

    ReplyDelete
  3. Gambar yang dipaparkan menarik dan penerangan dapat memberi pengertian yang mendalam untuk pembaca .Syabas.

    ReplyDelete
  4. Maklumat yang berguna dan gambar pakaian tradisional sungguh menarik.

    ReplyDelete
  5. Gambar yang dipaparkan menarik dan penerangan yang diberi amat berguna.Sungguh menarik!Syabas!
    Very G^o^o^d.

    ReplyDelete
  6. thanks for the info, it helps for my assignment! :)

    ReplyDelete